Ramadan bulan al-Quran. Bulan kita dituntut dan digalakkan untuk membaca al-Quran. Tetapi ramai kita yang struggle. Kita mahu membiasakan diri mengaji. Kita jadikan Ramadan sebagai permulaan azam untuk mula mengaji secara konsisten.
Kita juga cuba untuk mengkhatamkan al-Quran seperti orang lain. Tapi setiap kali Ramadan kita gagal.
Ini tips yang biasa dikongsikan ramai ustaz.
- Setiap juzuk ada 20 muka surat
- Bahagikan kepada 5 bahagian. (setiap bahagian 4 muka surat)
- Baca dua muka surat sebelum setiap solat fardu, dan 2 muka surat lagi selepas setiap solat fardu.
- 2x2x5 = 20 muka surat.
Nampak mudah, tapi susah untuk di lakukan. Mungkin boleh cuba ditambah dua perkara lagi iaitu waktu dan tempat.
- Cari tempat yang anda selesa dan boleh berikan fokus untuk mengaji seperti masjid, pejabat, ruang tertentu di rumah atau mana-mana yang anda selesa.
- Pilih waktu yang anda boleh beri komitmen. Tetapkan waktu itu dan tanamkan dalam minda.
- Jika ingin menggunakan kaedah di atas, boleh cuba untuk datang awal ke masjid. Kira berapa lama anda perlukan untuk baca dua muka surat. Jika perlukan 10 minit. Datang awal 10 minit sebelum azan. Dan balik lewat 10 minit selepas solat atau doa.
- Jika waktu siang bukan waktu yang mengizinkan untuk anda, pecahkan kepada dua bahagian.
- 10 muka surat pada waktu malam (magrib hingga habis terawih atau Isya hingga habis terawih) dan pagi sebelum dan selepas subuh. Tapi ini penat lah untuk habiskan 10 muka surat terus.
Dan jika 20 muka surat sehari bukan kemampuan kita, buat ikut apa yang kita mampu buat secara konsisten. Satu muka surat sahaja? Itu pun sudah cukup baik. Lepas seminggu mungkin boleh cuba tambah separuh atau satu lagi muka surat.
Cakap senang, tulis pun senang. Nak buat belum tentu senang. 😅
Kita cuba sama-sama ya
#ramadanYangLebihBaik