Kanak-kanak yang belum baligh sememangnya tidak diwajibkan untuk berpuasa. Namun, memperkenalkan ibadah puasa kepada anak-anak sejak mereka kecil merupakan langkah terbaik bagi ibu ayah untuk memberikan pendedahan dan kefahaman kepada mereka mengenai pentingnya berpuasa.
Sebagai langkah awal, ibu ayah haruslah memastikan persediaan sebaiknya dilakukan agar mereka lebih teruja untuk berpuasa nanti dan tidak berasa terpaksa. Jom ikuti tip cara mudah kenalkan anak dengan Ramadan berikut:
- Ceritakan tentang keindahan bulan Ramadan
Ibu ayah boleh lakukan aktiviti santai untuk memberi kefahaman kepada anak-anak tentang kelebihan berpuasa, pahala dan gajaran yang diperolehi jika berpuasa dengan cara bercerita, membaca buku cerita bersama-sama dan menonton video berkenaan dengan puasa.
- Ajarkan niat puasa dan doa-doa sepanjang Ramadan
Niat puasa dan doa penting dalam ibadah puasa di bulan Ramadan. Ajarkan anak-anak bahawa sebelum mula berpuasa pada esoknya, perlu membaca niat puasa dahulu. Memperdengarkan audio bacaan niat puasa dan doa juga membantu mereka untuk mengingati dan menghafal.
- Terangkan perkara yang boleh membatalkan puasa
Perkara utama yang perlu anak-anak ketahui semasa berpuasa ialah perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan dan yang boleh membatalkan puasa. Oleh itu, penting untuk ibu ayah terangkan tentang larangan tersebut agar mereka dapat menjaga diri dan menghindari daripada terbatalnya puasa.
- Sediakan carta puasa
Carta puasa atau jadual yang menarik boleh disediakan supaya mereka boleh melihat pertambahan jumlah hari berpuasa dan menaikkan lagi semangat untuk menyempurnakan sebulan berpuasa.
Sebagai ibu ayah yang inginkan terbaik untuk anak-anak, kita juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan khususnya. Hal ini kerana, anak-anak akan mengikut apa yang dilihat dari orang dewasa. Jadi, tunjukkan contoh terbaik selama menjalani ibadah puasa nanti, ya.
Dapatkan buku untuk anak-anak anda di sini 👇
- aulad.my