Kandungan artikel ini diambil dan dialih bahasa dari artikel asal Time.com https://time.com/5944210/calm-parenting-technique/
Emosi anak-anak sememangnya di luar jangkaan kita. Bagaikan periuk api, silap teknik ia meletus tiba-tiba.
Anak akan tiba-tiba menangis, mengamuk lebih-lebih lagi di bawah usia 6 tahun. Lebih parah jika mereka tak dapat apa yang mereka mahukan.
Ada cara sebenarnya ibu ayah boleh tangani emosi anak-anak jadi lebih disiplin dan patuh. Lebih tenang tanpa penuh ‘drama dan air mata’.
Kaedah TEAM Parenting bantu kawal emosi
Menurut Michaeleen Doucleff, penulis buku Hunt, Gather, Parent merumuskan elemen TEAM Parenting ini boleh membantu ibu ayah didik anak berdisiplin dengan lebih baik.
Mengandungi empat elemen iaitu Togethernes (Bekerjasama), Encouragement (Galakan), Autonomy (Kebebasan Membuat Keputusan) dan Minimal Interference (Kurang gangguan), ia sebenarnya dapat membentuk sebuah keluarga yang bertanggung jawab dan mengamalkan kehidupan yang lebih harmoni.
Bagaimana caranya?
1. Bekerja dalam satu pasukan
Ibu ayah boleh didik anak sejak kecil untuk kerja berpasukan. Contohnya pada hujung minggu, tetapkan masa untuk menyiapkan kerja-kerja membersihkan rumah.
Bahagikan tugas mengikut kesesuaian umur mereka. Abang menyapu ruang tamu hingga ke dapur, kakak bantu ibu mencuci pinggan.
‘Habis, adik nak buat apa, ibu? Semua buat kerja. Adik pun nak tolong juga.’
‘Okey, adik tolong ibu kemas mainan, ya.’
Bila seisi rumah melakukan tugasan bersama-sama, anak-anak lebih selesa dan tidak ada yang ‘tarik muka’ hanya kakak sahaja yang buat kerja.
Bila ibu ayah bekerjasama dengan anak-anak dan jadikan ia satu kebiasaan, anak-anak bukan sahaja belajar kemahiran asas menguruskan diri, tapi bagaimana bekerja dalam satu pasukan.
Tanpa kita sedar, ia mendidik mereka dengan sifat tanggung jawab dalam diri. Anak lebih selesa bekerjasama tanpa rasa tidak puas hati sebelah pihak.
Tip: Tetapkan jadual aktiviti mereka sebelum benarkan anak-anak dapat waktu rehat atau ‘ME-TIME’ seperti bebas bermain telefon. Ia umpama ‘hadiah’ pertolongan yang mereka berikan ketika melakukan kerja rumah.
2. Beri galakan dan kata sokongan, bukan bergaduh
Anak-anak sebenarnya sukakan galakan, ada dorongan dalam setiap tindakan yang mereka lakukan. Gunakan kata-kata pujian, intonasi yang lemah lembut dan sokong minat mereka.
Ini akan membuatkan anak-anak berasa lebih yakin dan selesa. Berikan kata-kata terbaik kerana setiap kata-kata itu adalah doa buat anak. Hargai setiap bantuan anak-anak. Walaupun sedikit, ia tetap bermakna.
Menangani karenah anak-anak merupakan satu cabaran besar buat ibu ayah. Ada ketika mereka memberontak, menjerit dan melawan bila kita suruh. Benar, ramai ibu bapa akan jadi mudah tinggikan suara dengan anak.
Kesudahnya, anak jadi stres dan bersikap pendiam. Sikap negatif ini amatlah tidak baik dalam perkembangan intelektual dan emosi mereka.
Cara terbaik ketika anak mengamuk atau marah-marah ialah ibu ayah seboleh-bolehnya berdiam diri, kawal emosi atau pergi ke dapur atau untuk tenangkan diri.
‘Lari’ jauh sikit daripada pandangan anak. Lama-kelamaan anak akan berhenti dan mula faham, mengamuk dan marah tidak berhasil. Insya-Allah mereka akan berhenti berkelakuan demikian.
Anak yang berumur 7 tahun ke atas biasanya sudah tahu bezakan perkara baik dan buruk. Daripada situasi itu, mereka dapat tangkap, “Oh, tidak berbaloi marah, mengamuk untuk raih perhatian ibu ayah”.
Jadi, apabila berlaku lagi, anda akan mengulangi perkara yang sama. Ingat ibu ayah, sekecil-kecil pertolongan si anak, ia sebenarnya suatu pengorbanan besar buat mereka.
3. Kebebasan membuat keputusan sendiri (Autonomi)
‘Adik, lepas mandi pergi pakai baju. Sikat rambut. Pakai bedak.’
Dalam ayat di atas, sudah ada tiga ARAHAN dalam satu masa. Anak-anak memang tidak suka diarah tetapi anda boleh cuba lembutkan sikit intonasi suara dan ayat dengan jadikan ia begini:
‘Adik dah mandi nanti, pakailah baju cantik-cantik dan wangi-wangi. Barulah Allah sayang.’
Anak sebenarnya bila mereka lakukan setiap hari, mereka sudah disiplin menjaga diri tanpa disuruh.
Beri mereka ruang untuk mereka buat keputusan sendiri. Bila mereka mampu mendisiplinkan diri, insya-Allah kehidupan anak akan jadi lebih teratur.
4. Pengawasan yang minimum
Jika anak sudah mula pandai membahagikan masa dan berdisiplin dengan aturan hidup, insya-Allah anak lebih berkelakuan baik dan bijak mengawal emosi hingga mereka besar.
Tugas ibu ayah kini berkurangan sekiranya berjaya asuh anak dengan pantauan yang minimum.
Memberi 70 peratus kepercayaan buat yang tersayang merupakan suatu pencapaian yang besar kerana berjaya membentuk peribadi anak yang soleh dan solehah. Tahniah buat ibu ayah yang berjaya hingga ke tahap ini!
Buat mereka yang belum berjaya, kita masih sempat mengubah situasi dengan menjadikan rumah sebuah tempat yang aman dan penuh kasih sayang.
Ibu ayah yang berjaya, ibu ayah yang bijak mendidik anak yang mementingkan kasih sayang dalam hubungan kekeluargaan sebagai cerminan peribadi mereka di masa hadapan.
Seperti peribahasa Melayu, bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Dapat sesuatu?
- aulad.my