Apabila anak-anak sudah boleh mengenal huruf-huruf hijaiyah dan mampu membaca ayat-ayat pendek, kita tentunya terfikir untuk mencari muqaddam bagi mengajar anak-anak surah-surah pendek atau kita mungkin ada mencari kelas mengaji di sekitar taman perumahan.
Tetapi, yang mana satu lebih baik?
Kelas mengaji sememangnya diajar oleh Ustaz atau Ustazah yang lebih mahir dengan tajwid dan sebutan ayat yang betul. Kebanyakan kelas mengaji juga ada teknik tertentu yang dapat membantu anak-anak mudah mengaji. Sebagai ibu ayah yang prihatin, kita yakin anak-anak akan pandai mengaji dengan kelas mengaji walaupun kelas tersebut mengenakan yuran tertentu.
Namun, mengenangkan jadual kelas anak yang padat… kita jadi kasihan jika menambah lagi kelas untuk anak. Waktu pagi, anak-anak dah ke sekolah kebangsaan. Waktu petang pula, mereka akan ke sekolah agama. Waktu yang tinggal hanyalah malam. Bila pula waktu anak-anak dengan kita?
Ada juga sesetengah ibu ayah yang memilih untuk mengajar anak mengaji sendiri di rumah. Dengan memilih cara ini mengaji boleh menjadi rutin.
Pemilihan waktu mengajar juga adalah lebih fleksibel, mengikut masa lapang ibu ayah dan anak. Antara masa yang sesuai adalah di antara solat Maghrib dan solat Isyak. Pada waktu ini juga, kita juga boleh mendidik anak untuk solat berjemaah. Anak-anak tentu lebih seronok untuk menunaikan solat apabila pandai membaca surah. Waktu ini juga boleh dikatakan antara masa berkualiti bersama anak-anak.
Semasa mengaji, ibu ayah juga boleh menggunakan teknik bercerita seperti kisah di sebalik penurunan surah atau info-info yang menarik berkaitan dengan surah tersebut. Hal ini secara tidak langsung, membantu anak-anak untuk lebih bersemangat untuk belajar mengaji.
Ibu ayah boleh menggunakan Juzuk Ammar sebagai buku tafsir sepanjang waktu mengaji bersama anak-anak di rumah.
Ketahui lebih banyak kelebihan Juzuk Amma di pautan ini. KLIK DI SINI