Beg sekolah yang berat memberi beban yang tinggi pada bahagian bahu dan belakang anak-anak.
Isu beg sekolah yang berat adalah isu besar yang kita sudah dengar sepanjang hidup kita. Malah isu ini sudah dibincangkan pada zaman ibu bapa kita sendiri. Walaupun solusinya mudah, iaitu menyediakan lokar pelajar, tetapi entah kenapa masalah ini masih berterusan melebihi 3 generasi.
Isu ini nampak seperti dilihat remeh untuk pihak berwajib selesaikan.
Oleh itu daripada kita menunggu penyelesaian masalah ini yang mungkin masih kita akan bincangkan ketika cucu kita bersekolah nanti, ada beberapa perkara yang boleh diambil perhatian oleh kita ibu bapa atau penjaga.
Saiz Beg
Menurut Dr Nawar Ariffin, Pakar Ortopedik Kanak-Kanak, saiz beg memainkan peranan penting. Bagi membantu anak menggalas beg dengan lebih baik, saiz beg perlu sesuai dengan saiz badan anak:
- Lebar beg sekolah tidak boleh melebihi lebar tubuh anak.
- Panjang beg sekolah juga tidak boleh melebihi bahagian pinggul anak.
- Sediakan beg sekolah yang panjangnya hanya sampai ke pinggang anak sahaja.
Cara Menggalas
Cara menggalas beg juga penting bagi menjaga kesihatan fizikal anak-anak. Cara menggalas beg yang betul dapat mengagih beban secara seimbang. Dr Nawar Ariffin mencadangkan untuk kita ibu bapa melatih anak-anak memakai kedua-dua tali galas beg untuk mendapat beban yang seimbang kepada dua-dua belah bahu.
Semoga cara ini dapat sedikit sebanyak membantu anak-anak kita melalui zaman persekolahan yang lebih sihat.
Semoga bermanfaat.