Ibu ayah yang sibuk sering mengadu tidak cukup masa nak ajar anak mengaji. Kekangan masa kadang kala jadikan kita buntu bila masa yang tepat untuk ajar mereka.
Sebenarnya jika kita betul-betul disiplin pasti boleh kita lakukan. Akan tetapi ada waktu tertentu kita boleh manfaatkan peluang yang ada bersama mereka. Semoga tip-tip ini membantu kita membina generasi al-Quran bersama!
Waktu dalam kenderaan
Dalam perjalanan sama ada sewaktu ke tempat kerja, balik kampung waima ke kedai makan pun, masa ini paling ideal kita biasakan berbicara bersama anak-anak.
Kita boleh buat kuiz dan mulakan dengan surah 4 Qul buat mereka. Jangan lupa sediakan hadiah setiap surah yang mereka berjaya hafaz!
Ketika solat berjemaah
Waktu selepas solat berjemaah waktu terbaik ajar hafazan bersama anak-anak. Mereka bebas daripada gajet dan semestinya patuh dan akur apa sahaja yang ibu ayah terapkan waktu ini. Manfaat masa terbaik ini dengan bercerita Asbabun Nuzul, sebab turunnya setiap surah kepada mereka.
Saat anak leka bermain
Sambil anak-anak sibuk bermain, ibu ayah boleh tarik perhatian mereka dengan bacaan hafazan surah pendek ini.
Teknik berbentuk fonik merupakan pendekatan terbaik menarik minat anak sambil bermain dan bernyanyi dalam satu masa.
Contoh seperti membaca surah 4 Qul sambil berlagu ikut ritma yang ringkas. Lebih kerap anak menyebutnya, lebih mudah anak-anak mengingatinya.
Sambil masak pun boleh!
Risau sungguh jika anak tiada didepan mata. Leka sedikit, mula mereka ‘hilang daripada radar’. Tarik perhatian anak dengan buku Juzuk Amma. Sambil kupas bawang tu, boleh ajak anak sama-sama duduk semeja dan baca bersama-sama.
Sebelum tidur
Waktu terbaik dodoikan anak dengan surah-surah lazim. Jadikan ia sebagai amalan dalam membantu menenangkan mereka sebelum tidur.
‘Bonding time’ bersama anak memberi makna yang besar buat mereka. Jadi, cipta memori sebanyak mungkin waktu bersama anak supaya dapat membentuk psikologi sihat dan celik al-Quran.