Masa anak-anak melihat skrin digital seperti gadget dan televisyen lebih lama berbanding masa mereka bersama buku sewaktu di rumah. Betul, tak? Macam mana nak anak "ketagih" buku berbanding "ketagih" gadget, ya?
Baca 5 tip ni untuk menjadikan buku sebagai teman baik anak anda.
1. PILIH BUKU BERGAMBAR DAN BERWARNA
Kanak-kanak sememangnya akan lebih tertarik kepada buku bergambar dan berwarna-warni. Jadi, bahan bacaan bergambar dan berwarna amatlah penting sekiranya ibu bapa ingin mula mendidik anak membaca. Oleh itu, ibu bapa perlu dapatkan buku yang mengandungi gambar dan warna yang menarik agar dapat memikat hati anak anda untuk mencintai buku.
2. BELI BUKU MENGIKUT KEGEMARAN ANAK-ANAK
Sebagai ibu bapa, kita akan faham apa kegemaran anak-anak. Jadi, inilah cara terbaik untuk dekatkan anak dengan buku. Contohnya, jika anak anda suka mainan dinosaurs, jadi beli buku tentang dinosaurs. Begitu juga jika anak anda seorang yang cintakan haiwan, belilah buku yang berkaitan dengan haiwan atau hidupan.
3. PASTIKAN BUKU MENGIKUT USIA ANAK-ANAK
Semasa memilih buku, pilih buku yang sesuai mengikut usia anak anda. Hal ini kerana, sekiranya untuk permulaan melatih anak membaca, mereka diberi buku yang mempunyai banyak teks, mereka akan bosan. Namun, sekiranya kita memberi buku yang mengandungi teks ringkas, gambar yang besar dan berkulit keras, anak-anak pasti teruja dengan buku tersebut.
4. BAWA ANAK BERSAMA SEMASA MEMBELI BUKU
Sesekali kita ke kedai buku, minta anak sendiri pilih buku yang mereka inginkan. Jadi, mereka lebih teruja untuk membaca sekiranya buku tersebut menjadi pilihan mereka. Namun, ibu bapa masih perlu memantau dalam memilih buku agar buku tersebut sesuai dengan tahap mereka.
5. IBU AYAH BACA BERSAMA ANAK
Sebenarnya, peranan ibu ayah sangat penting dalam memupuk minat anak-anak membaca. Ibu ayah menjadi role model untuk anak-anak. Jadi, terapkan budaya membaca di rumah. Di samping sediakan mini library atau ruangan membaca yang kemas dan hiasan menarik, ibu ayah perlu teman anak-anak membaca, dengar anak-anak membaca atau baca bersama mereka. Jadikan sesi membaca sebagai rutin keluarga setiap hari.
Oleh itu, sebagai ibu ayah yang prihatin, berikan galakan dan motivasi kepada anak untuk terus minat membaca. Latih anak dari kecil agar minat membaca tersebut akan terus mekar dalam jiwa mereka.
Selain itu, anda juga boleh mula menggantikan hadiah mainan kepada buku untuk anak-anak. Hadiah buku boleh dijadikan sebagai ganjaran apabila mereka berjaya melaksanakan sesuatu kerja.
KLIK DI SINI untuk pilih hadiah buku anak anda.
Semoga tip ini memberi panduan untuk anda dalam membentuk anak-anak menjadi generasi yang cintakan buku.